suria

Nancy pandang serius isu bapa gelar anak perempuan ‘mini wife’, kecam tindakan eksploitasi kanak-kanak

Nancy menegaskan tindakan mengeksploitasi kanak-kanak secara dalam talian tidak wajar sama sekali.

KECOH di platform media sosial sejak beberapa hari lalu susulan hantaran seorang pelayar mengenai satu akaun yang mempamerkan kandungan (content) 'janggal' hubungan seorang bapa dan anak perempuannya yang masih kecil. 

Apa yang menggusarkan warga maya, kanak-kanak perempuan tersebut bukan sahaja disolek dan 'digayakan' seperti seorang wanita dewasa, malah si bapa menggunakan gelaran mini wife kepada anaknya itu.

Perkara tersebut meraih perhatian serius Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak pandang dia sebagai suami”- Ibu nafi ‘terlajak’ mesra dengan anak, anggap cuma seni lakonan

Menerusi hantaran di media sosial, Nancy menegaskan tindakan mengeksploitasi kanak-kanak secara dalam talian tidak wajar sama sekali, walaupun dilakukan oleh ibu bapa sendiri.

"Saya memandang serius isu seorang bapa yang mengendalikan akaun anak perempuannya yang tular di media sosial.

"Tindakan mengeksploitasi kanak-kanak dalam talian, walaupun oleh ibu bapa sendiri, adalah tidak wajar dan tidak boleh diterima.

"Terima kasih kepada semua yang  melaporkan isu ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK). Keselamatan dan kebajikan kanak-kanak sentiasa kami utamakan," tulisnya.

Terdahulu, bapa kepada kanak-kanak itu tampil memuat naik penjelasan berhubung content yang dikatakan menimbulkan kegusaran ramai.

Menerusi carian mStar, akaun kanak-kanak berkenaan yang dikendalikan bapanya juga sudah menukar gambar profil, selepas gambar terdahulu turut menimbulkan rasa kurang senang netizen.

 

Artikel Lain