SEORANG pemandu lori maut dalam kemalangan membabitkan 12 kenderaan di Kilometer 129.9 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) dekat Pagoh, pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan yang berlaku pada pukul 7.30 pagi itu mengorbankan pemandu lori berusia 39 tahun selepas dipercayai mengalami kecederaan dalaman.
Nahas tersebut yang membabitkan enam lori, lima kereta dan sebuah van, turut menyebabkan enam yang lain mengalami kecederaan.
Menurut Raiz, siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila lori dipandu lelaki 48 tahun mengalami kerosakan teknikal yang menyebabkan ia berhenti di lorong kecemasan.
"Namun secara tiba-tiba lori itu mengeluarkan asap tebal, mengakibatkan lori yang mengekori di belakang terlindung asap lalu merempuhnya.
"Beberapa kenderaan yang turut berada di belakang merempuh sesama sendiri. Seorang pemandu lori tersepit di tempat duduknya, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, ujian air kencing dan alkohol terhadap pemandu lori yang mengalami kerosakan mendapati dia bebas bahan terlarang itu.
"Orang ramai mempunyai maklumat berhubung nahas itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Siti Ayu Mohamad Japri di talian 010-7724850 atau balai polis trafik Muar bagi membantu siasatan," katanya.
Siasatan masih dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.