suria

Dua lelaki ditahan buat ciapan Malaysia ditawan ekstremis, Israel serang rumah PM

Orang ramai perlu menggunakan media sosial dengan berhemah. -Gambar hiasan

POLIS menahan dua pemilik akaun X selepas mereka membuat ciapan berbaur hasutan dan ugutan jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kedua-dua suspek itu merupakan lelaki berumur 37 dan 43 tahun.

Dalam kenyataan pada Isnin, Kumar berkata pemilik akaun X pertama memuat naik ciapan mengenai dakwaan Malaysia akan diambil alih oleh ekstremis dan berlaku revolusi.

Pemilik akaun X kedua pula memuat naik komen berkaitan serangan Israel ke atas kediaman perdana menteri.

"Siasatan berhubung penularan dua akaun aplikasi X itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 JSJ, Bukit Aman sejurus laporan  diterima.

"Suspek kes pertama dibenarkan tahanan reman selama dua hari bermula 25 Ogos sehingga 26 Ogos.

"Suspek kes kedua dibenarkan tahanan reman selama empat hari mulai 25 Ogos hingga 28 Ogos," menurut kenyataan itu.

Menurut Kumar, kes pertama disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kes kedua disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," ujarnya lagi.

Tambahnya, PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang membuat kenyataan sedemikian.

 

Artikel Lain