suria

Lelaki telefon polis, mengaku cekik teman wanita sampai mati

Melakukan kekerasan sehingga membawa maut adalah satu kesalahan jenayah. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki nekad menghubungi polis selepas mengaku membunuh kekasihnya di sebuah pangsapuri di Kampung Baru Subang, Selangor pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki kira-kira pukul 8.54 malam yang mengaku membunuh teman wanitanya disebabkan tekanan.

Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Buloh bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di rumah berkenaan, seorang penyewa memberitahu terdapat lelaki lain bersama teman wanitanya di bilik belakang sebelum anggota polis kemudian mengetuk pintu bilik tersebut dan ia dibuka oleh seorang lelaki.

"Hasil pemeriksaan mendapati seorang wanita berusia 52 tahun ditemui terbaring di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pemeriksaan pembantu pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh pada pukul 10.47 malam mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia lebih empat jam sebelum ditemui.

"Siasatan awal mendapati mangsa dibunuh dengan cara dicekik menggunakan tangan. Suspek yang merupakan teman lelaki mangsa berusia 47 tahun telah ditahan di lokasi kejadian.

"Suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," jelasnya.

Polis memandang serius kejadian berkenaan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Azraai Mohamad Amin di talian 018-9696941.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain