suria

Mahkamah arah kubur pelatih Palapes UTM digali semula

Ummu Haiman sebelum ini memohon agar kubur anaknya digali semula.

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam pada Selasa memerintahkan kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin digali semula.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, supaya kubur anaknya digali semula.

Menurut Bhupindar Singh, proses menggali semula kubur bertujuan membolehkan bedah siasat kedua dijalankan ke atas jasad Allahyaham.

ARTIKEL BERKAITAN: Nampak banyak darah keluar dari hidung, leher dan mata... Ibu pelik jenazah anak pelatih Palapes ada kesan lebam

Proses bedah siasat itu juga perlu dibuat dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.

Sebelum ini, ibu Allahyarham turut memohon dijalankan inkues bagi menyiasat punca kematian anaknya.

Untuk rekod, Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia ketika mengikuti latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram pada 28 Julai lalu.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam kematian pelatih berkenaan.

 

Artikel Lain