POLIS membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang pelajar lelaki tingkatan tiga yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam, Selangor pada awal pagi Selasa.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Jelas beliau, siasatan turut melibatkan pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakan sekelilingnya.
"Buat masa ini, polis sedang mengumpul keterangan daripada saksi dan individu berkaitan.
"Sebarang spekulasi mengenai punca kejadian termasuk dakwaan wujud unsur buli, adalah terlalu awal untuk disahkan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian yang boleh mengganggu proses siasatan atau menjejaskan emosi keluarga mangsa.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menjalankan proses siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden sekolah berkenaan ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga proses siasatan selesai.
"Saya mengambil perhatian kemalangan yang membabitkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Selangor hari ini (Selasa).
"Pelajar berkenaan sedang mendapat rawatan di hospital. Laporan kepada polis sudah dibuat supaya siasatan lanjut boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar lelaki kritikal selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah, dalam kejadian awal pagi Selasa.
Mangsa kini berada dalam pemantauan rapi di sebuah hospital.