SEORANG pelajar tahun akhir sebuah kolej perubatan di Melaka kritikal selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah kondominium servis, Isnin malam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.40 malam, mangsa yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu terselamat apabila terjatuh di beranda luar tingkat lima.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis buka kertas siasatan insiden pelajar lelaki jatuh tingkat 3 asrama sekolah di Sabak Bernam
"Siasatan awal menunjukkan pelajar itu bukan mangsa buli," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Christopher berkata, ini adalah kali kedua pelajar berusia 24 tahun itu cuba membunuh diri, dengan yang pertama dilaporkan pada 2023 ketika dia menetap di Muar, Johor.
Tambahnya, pelajar itu kini menerima rawatan di Hospital Melaka ekoran mengalami pendarahan di bahagian otak dan tengkorak akibat hentakan ketika jatuh.