suria

Sindiket rakam, jual video pemuas nafsu ‘pedo’ tumpas! Bayi, kanak-kanak berjaya diselamatkan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkongsi maklumat tangkapan Ops Pedo.

LIMA kanak-kanak termasuk dua bayi yang dipercayai didera bagi tujuan menghasilkan gambar dan video untuk sindiket pedofil, berjaya diselamatkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kanak-kanak berusia antara dua bulan hingga lima tahun itu dipercayai dijual kepada sindiket itu menerusi media sosial.

"Modus operandi sindiket itu ialah menawarkan ibu hamil antara RM1,500 hingga RM3,500 untuk menyerahkan anak mereka sebagai anak angkat.

“Mereka juga akan menanggung kos perubatan ibu sebelum membawa mereka ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan sijil kelahiran yang sah.

“Kanak-kanak itu kemudiannya didera secara seksual dan digunakan untuk menghasilkan video dan gambar yang dimuat naik ke web gelap dan kumpulan Telegram dengan pelanggan dari seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor pada Jumaat.

Kumar berkata sindiket itu lumpuh selepas operasi selama sebulan berikutan penahanan seorang juruteknik berusia 29 tahun di Johor Bahru.

“Kami menemui berpuluh-puluh video penderaan seksual kanak-kanak dan gambar dalam telefon yang dirampas daripada suspek.

“Operasi kemudiannya dijalankan di Johor Bahru, Selangor dan Pulau Pinang antara 19 Julai hingga 19 Ogos, membawa kepada penahanan 10 yang lain.

“Suspek termasuk dua warga tempatan dan lapan warga asing berusia antara 25 hingga 60 tahun dengan beberapa suspek warga asing dipercayai bertindak sebagai penjaga kanak-kanak berkenaan,” katanya.

Tambahnya, operasi yang diberi nama kod Ops Pedo itu diketuai oleh pasukan khas polis dan agensi antarabangsa.

Kumar berkata siasatan lanjut mendapati tiga lagi kanak-kanak berusia antara lima dan tujuh tahun turut didera secara seksual oleh sindiket itu.

“Mereka menyasarkan kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di kawasan kejiranan mereka.

"Setelah mengenal pasti sasaran, mereka akan melakukan penderaan ke atas kanak-kanak itu dan merekodkan perbuatan itu," katanya. -The Star

Artikel Lain