suria

RCA bantu jaga bumi, langkah besar ke arah pembinaan hijau sejajar prinsip ESG - Ahli akademik

RCA menjamin pematuhan piawaian, pelaporan telus dan amalan hijau dalam industri pembinaan.

INTEGRASI penggunaan Agregat Konkrit Guna Semula atau Repurposed Concrete Aggregate (RCA) dalam industri pembinaan dilihat sebagai pendekatan yang sejajar dengan prinsip ESG (Environmental, Social & Governance).

Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Ts Dr Nurul Azita Salleh berkata, RCA turut menyokong sasaran Pembangunan Lestari (SDG) global.

Menurutnya, RCA bukan sahaja memberi impak positif terhadap kelestarian alam sekitar, malah turut membawa manfaat sosial dan memperkukuh tadbir urus industri pembinaan.

Dr Nurul Azita menegaskan penggunaan RCA selari dengan piawaian serta dasar kerajaan yang menggalakkan amalan hijau.

Nurul Azita menegaskan penggunaan RCA selari dengan piawaian serta dasar kerajaan menggalakkan amalan hijau.

“Penggunaan RCA membantu mengurangkan sisa tapak bina, menjimatkan sumber asli, serta menurunkan jejak karbon kerana pemprosesannya lebih rendah tenaga berbanding perlombongan batu kuari baharu,” katanya dalam satu temu bual khas bersama mStar.

Beliau menambah, daripada aspek sosial, RCA mampu meningkatkan keselamatan komuniti dengan mengurangkan longgokan sisa binaan yang berbahaya, di samping membuka peluang pekerjaan baharu dalam sektor kitar semula dan pembinaan lestari.

“Projek yang menggunakan RCA juga mampu meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan pembinaan mesra alam dan secara tidak langsung meningkatkan kualiti hidup masyarakat berhampiran,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: CREAM giat lakukan penyelidikan, bersedia untuk projek RCA skala besar ikut jejak negara maju

ARTIKEL BERKAITAN: Konkrit terbuang kini jadi sumber bernilai, RCA mampu ganti 30 peratus agregat semula jadi

Daripada sudut tadbir urus, Dr Nurul Azita menegaskan bahawa penggunaan RCA selari dengan piawaian serta dasar kerajaan yang menggalakkan amalan hijau.

“Ia bukan sahaja mematuhi piawaian industri seperti MS EN 206, malah boleh dimasukkan dalam laporan ESG syarikat sebagai indikator kelestarian. 

"Ini menunjukkan komitmen terhadap ketelusan, polisi pembelian hijau, serta pengurusan rantaian bekalan beretika,” ujarnya.

RCA membantu mencapai matlamat ESG syarikat pembinaan-Gambar hiasan FreepikRCA membantu mencapai matlamat ESG syarikat pembinaan  -Gambar hiasan Freepik

Secara keseluruhannya, katanya, RCA dilihat menyokong agenda kelestarian dengan tiga sumbangan utama iaitu:

Alam Sekitar: Mengurangkan sisa binaan, penggunaan sumber asli, serta pelepasan karbon.

Sosial: Memberi manfaat kepada komuniti, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan kesedaran masyarakat.

Tadbir Urus: Menjamin pematuhan piawaian, pelaporan telus dan amalan hijau dalam industri.

“Jika dilaksanakan secara konsisten, RCA bukan sahaja membantu mencapai matlamat ESG syarikat pembinaan tetapi juga menyumbang kepada sasaran SDG 11 (Bandar dan Komuniti Lestari) serta SDG 12 (Pengeluaran & Penggunaan Bertanggungjawab),” katanya.

Artikel Lain

A. Aida masuk ICU