suria

Konkrit terbuang kini jadi sumber bernilai, RCA mampu ganti 30 peratus agregat semula jadi

Sisa binaan (kanan) yang dibuang kini menjadi bahan berharga untuk pembinaan.

SISA binaan yang selama ini dianggap tiada nilai, kini diangkat menjadi sumber berharga menerusi fasiliti Agregat Konkrit Guna Semula atau Repurposed Concrete Aggregate (RCA).

YTL Cement yang diberi peranan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) kini mencipta peluang baharu dalam industri pembinaan negara dengan menukar lebihan konkrit kepada agregat berguna yang mampu menyumbang kepada masa depan pembinaan lebih hijau dan mampan.

Menurut Pengarah YTL Cement, Datuk Aziyah Mohamed, RCA berupaya menggantikan sehingga 30 peratus agregat semula jadi dalam campuran konkrit baharu.

Aziyah memaklumkan RCA memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti seperti MS EN 206.

Aziyah memaklumkan RCA memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti seperti MS EN 206.

"Saya berharap fasiliti ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak pusat seumpamanya diwujudkan di seluruh negara. Ia tidak seharusnya tertumpu di Lembah Klang sahaja, sebaliknya diperluaskan ke negeri-negeri lain supaya manfaatnya lebih menyeluruh.

"Kita perlu pastikan RCA memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti seperti MS EN 206, supaya ia diyakini pengguna dan mampu menembusi pasaran secara meluas. Bahan halus yang terhasil juga boleh digunakan untuk kerja sub-basis dan penstabilan tanah.

ARTIKEL BERKAITAN: Pusat RCA pertama inisiatif YTL Cement-CREAM: Malaysia ke arah ekonomi hijau, industri pembinaan mampan

ARTIKEL BERKAITAN: RCA bantu jaga bumi, langkah besar ke arah pembinaan hijau sejajar prinsip ESG - Ahli akademik

"Inisiatif ini membantu mengurangkan tekanan terhadap sumber kuari, sekali gus menyumbang kepada penurunan jejak karbon sektor pembinaan, terutama di kawasan bandar,” jelasnya.

Beliau menambah, fasiliti ini bukan sahaja menjadi pusat pemprosesan, tetapi turut bertindak sebagai medium penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang bakal membuka lebih banyak peluang inovasi pada masa depan.

Fasiliti RCA ini menandakan bahawa industri pembinaan Malaysia kini serius bergerak ke arah ekonomi kitaran.Fasiliti RCA ini menandakan bahawa industri pembinaan Malaysia kini serius bergerak ke arah ekonomi kitaran.

Kilang pemprosesan ini turut mendapat sokongan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan seiring dengan aspirasi Dasar Pembinaan Negara 2030 yang menekankan kelestarian serta ekonomi kitaran.

Menurut statistik YTL Cement, setiap tahun Malaysia menghasilkan lebih 30 juta meter padu konkrit dan kira-kira lima peratus daripada jumlah itu adalah konkrit segar yang dipulangkan semula kerana tidak digunakan.

Sisa ini kebiasaannya dibuang di tapak pelupusan atau kawasan tidak sesuai, sekali gus menimbulkan risiko pencemaran tanah dan air.

Dengan adanya pusat RCA yang bertindak sebagai kilang memproses lebihan konkrit daripada tapak pembinaan untuk dijadikan agregat gantian, ia bagai memberi nafas baharu kepada bahan tersebut.

Agregat konkrit yang dihasilkan boleh digunakan kembali dalam pembinaan, selain menghasilkan produk lain seperti bahan asas jalan dan bata.

Selain RCA, YTL Cement turut memperkukuh peranan dalam pendidikan dan kesedaran tentang alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui penganjuran Simposium Pembinaan Lestari menerusi siri ECO Excellence.

Kualiti bahan binaan yang terhasil dari RCA setanding dengan yang sebenar.

Kualiti bahan binaan yang terhasil dari RCA setanding dengan yang sebenar.

Syarikat itu juga bekerjasama rapat dengan badan profesional seperti The Cement & Concrete Association of Malaysia (C&CA); The Institution of Engineers, Malaysia (IEM); Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM); Master Builders Association Malaysia (MBAM); dan Malaysia Green Building Council (MGBC).

Menerusi CDL Academy, YTL Cement sudah melatih lebih 9,000 peserta sejak tahun 2019 dalam lebih 90 sesi termasuk kelas di universiti yang berasaskan prinsip ESG.

Pelancaran fasiliti RCA ini menandakan bahawa industri pembinaan Malaysia kini serius bergerak ke arah ekonomi kitaran dan dijadikan sumber bernilai untuk kegunaan semula.

Dengan adanya RCA, masa depan pembinaan negara diyakini lebih hijau, mampan dan berdaya saing di peringkat global.

Artikel Lain

A. Aida masuk ICU