suria

Dua beradik maut, kereta menggelongsor masuk sungai

Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

DUA beradik maut selepas kereta yang dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai berhampiran Jambatan Tanjung Agas di Teluk Kemang, Negeri Sembilan pada Khamis.

Mangsa masing-masing berusia enam dan lapan tahun berada di dalam kenderaan bersama ibu mereka sewaktu kejadian berlaku.

Ketika kejadian kereta jenis Nissan Teana yang diparkir di tebing sungai dengan enjin tidak dihidupkan secara tiba-tiba menggelongsor masuk ke dalam air.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, insiden dipercayai berlaku ketika empat sekeluarga sedang bersantai di kawasan tersebut.

“Bapa mangsa memaklumkan dia keluar dari kereta untuk merokok, manakala isteri serta dua anak berada di dalam kenderaan. Tiba-tiba, kereta itu bergerak sendiri ke arah sungai.

“Air sungai ketika itu surut, dan si ibu bersama anak-anak menjerit meminta pertolongan,” katanya dalam kenyataan.

Orang awam yang berada berhampiran sempat menyelamatkan wanita berusia lingkungan 40-an itu, namun kedua-dua anaknya tenggelam bersama kenderaan berkenaan.

Pasukan penyelamat menemui mangsa pertama pada pukul 1.30 tengah hari, manakala adiknya kira-kira 20 minit kemudian.

“Kedua-duanya disahkan meninggal dunia selepas usaha menyelamat melalui CPR gagal,” katanya.

Siasatan awal mendapati keluarga berkenaan berada di kawasan itu sejak dua hingga tiga hari lalu untuk berehat dan memancing.

“Kereta diparkir kira-kira 10 meter dari tebing sungai dalam keadaan enjin mati. Kejadian dipercayai berpunca daripada masalah teknikal pada kenderaan.

“Kenderaan ditemui dalam keadaan terbalik di dasar sungai pada kedalaman kira-kira empat meter dengan kedua-dua kanak-kanak masih berada di dalamnya,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan bedah siasat dijalankan di Hospital Port Dickson.

Operasi menyelamat turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

 

Artikel Lain