suria

Semua ‘salah’ roti nan tandoori! Bekas suami isteri ditangkap khalwat, cinta kembali berputik lepas habis idah

Bekas suami isteri ditangkap khalwat. -Gambar hiasan AI (kiri)

SEORANG lelaki menjadikan roti nan tandori sebagai umpan untuk memujuk bekas isterinya hingga membawa kepada serbuan pihak berkuasa agama pada Khamis. 

Pasangan itu ditahan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah rumah flat di Johor Bahru kira-kira pukul 1 pagi selepas menerima aduan awam. 

Ketika ditahan pasangan berusia 30-an itu mengakui mereka adalah bekas suami isteri yang sudah bercerai talak satu setahun lalu.

"Apabila ditanya apa tujuan lelaki itu datang, dia mengatakan untuk minta bekas isterinya membasuh baju dan makan malam. Selain mahu melihat anak.

"Lebih mencurigakan, lelaki tersebut turut ditemui tertidur di bilik bekas isteri selepas makan malam," katanya.

Menurut JAINJ, ketika disoal mengapa mereka tidak kembali rujuk, lelaki itu mendakwa tempoh idah sudah berakhir.

"Tapi, sebaik saja tamat idah berputik pula cinta. Mereka kembali berhubung melalui WhatsApp dan lelaki itu mengajak isterinya makan malam di kedai mamak. 

"Bekas isteri pula suka sangat roti nan tandoori. Sejak itu setiap kali datang melawat anak, lelaki itu membawa roti nan tandori  kesukaan bekas isterinya," katanya.

Menurutnya, pasangan itu perlu melalui proses nikah semula dengan keperluan wali tetapi timbul sedikit masalah kerana lelaki itu bergaduh dengan abang wanita terbabit selepas mereka bercerai.

"Jika sabit kesalahan khalwat, pasangan ini boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Lain