PENDEDAHAN pengumpul minyak masak terpakai tentang trend dalam kalangan pengguna yang menjual semula minyak masak paket subsidi mengundang resah orang ramai.
Berdasarkan perkongsian di TikTok [Tonton Video], jumlah minyak masak paket subsidi berharga RM2.50 itu dijual kepada mereka dalam kuantiti yang banyak.
Menurut pengendali akaun tersebut, ada segelintir individu yang menjual sehingga 100 paket sekali gus kepada pihaknya.
"Kami terima lagi minyak paket, tengok banyak kan? Kami pun pelik kenapa mereka beli banyak-banyak tapi tak guna akhirnya jual kepada kami.
"Daripada pelanggan yang sama hantar 100 paket," katanya.
Pembeli minyak masak terpakai yang beroperasi di Taiping, Perak itu juga mendakwa tidak pasti kenapa ada pelanggan menjual minyak subsidi tersebut sedangkan masih belum melepasi tarikh luput.
"Kami tak pasti, tapi alasan yang diberikan setiap kali mereka masak ada suatu bau dan sebagainya," katanya.
Berdasarkan komen, netizen mendakwa tujuan individu menjual minyak paket berkenaan bagi meraih untung.
"Beli minyak RM2.50 sekilogram (kg), jual pada pembeli minyak terpakai RM3.50 bagi1kg. Bagi 100 kg dia dapat untung RM100," dakwa warga maya.
Namun, pembeli minyak terpakai berkenaan menafikan mereka membeli dengan harga setinggi itu.
Berdasarkan carian mStar, harga minyak masak terpakai di Malaysia berbeza mengikut lokasi dan syarikat pengumpul, tetapi secara umumnya adalah antara RM1 hingga RM3.50 per kg.
Sementara itu, netizen juga menasihati pembeli berkenaan agar tidak terus membeli minyak masak paket baharu kerana dikhuatiri menyalahi undang-undang.
"Saya rasa pihak puan kena tolak untuk beli minyak paket sebagai minyak kitar semula sebab ada yang beli minyak terpakai RM3 walhal minyak paket RM2.50.
"Kesian pada yang betul-betul nak beli minyak paket tapi tak ada stok.
"Mereka ambil tak guna, orang betul-betul susah tak dapat guna. Salah ni," kata warga marah.