PENGENDALI pasar raya, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) akan melanjutkan waktu operasi di 50 cawangan terpilih seluruh negara pada Jumaat hingga Ahad ini.
Waktu operasinya akan bermula seawal pukul 7 pagi hingga 1 pagi bagi memberi lebih ruang kepada pelanggan berbelanja.
Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, langkah itu dilaksanakan bagi menyokong rakyat memanfaatkan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 serta pelbagai bantuan lain yang dikreditkan kerajaan.
"Mydin memahami keperluan pelanggan untuk mempunyai lebih masa membeli-belah dengan selesa.
"Dengan lanjutan masa operasi ini, kami harap kesesakan dapat dikurangkan, selain memastikan bekalan barangan asas sentiasa mencukupi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, Mydin komited untuk terus menyokong usaha kerajaan dalam meringankan kos sara hidup rakyat melalui harga berpatutan dan jaminan barangan keperluan asas yang stabil di pasaran.