KESAKITAN seorang lelaki yang terbabit dalam kemalangan jalan raya sedikit terubat selepas diijab kabul dengan wanita pilihannya di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di Kuala Krai, Kelantan.
Che Muhammad Rifqi Danial, 25, yang dimasukkan ke HSIP pada Isnin lalu, sah menjadi suami kepada Nur Sufia Amalin Che Ramli, 26, dalam satu majlis sederhana tetapi penuh bermakna pada Jumaat.
Majlis akad nikah yang jarang-jarang dapat disaksikan itu berlangsung dengan kelulusan pihak hospital menerusi inisiatif Hospital Mesra Ibadah (HMI) yang turut menyediakan ruang khas agar acara berjalan lancar.
Pasangan pengantin bergambar bersama ahli keluarga terdekat di Hospital Sultan Ismail Petra.
“Persiapan majlis sudah lama dibuat. Jadi pihak keluarga memohon agar akad nikah tetap diteruskan. Kami berbesar hati membenarkan majlis ini berlangsung,” kata HSIP menerusi perkongsian di Facebook.
Berdasarkan gambar yang dikongsi, Wad 6C Ortopedik yang menempatkan Che Muhammad Rifqi dihias dengan pelamin, selain turut dihadiri ahli keluarga terdekat.
Penghargaan turut disampaikan kepada Jabatan Ortopedik, warga kejururawatan, Jawatankuasa HMI, Unit Komunikasi Korporat serta Unit Keselamatan HSIP yang berganding bahu memastikan majlis berjalan lancar.
Pasangan mempelai itu menerima ucapan tahniah daripada warga hospital dan warga maya mendoakan agar rumah tangga mereka diberkati serta berkekalan hingga ke akhir hayat.