suria

Kronologi tragedi dua beradik lemas... Daripada insiden kereta menggelongsor sendiri kini jadi kes bunuh

Dua beradik lemas selepas kereta menggelongsor ke dalam sungai pada Khamis.

TRAGEDI meragut nyawa dua beradik  di Sungai Linggi di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Khamis mengejutkan orang ramai apabila kereta dinaiki mereka menggelongsor masuk ke dalam sungai.

Kejadian menyayat hati tersebut bagaimanapun tidak berakhir di situ, apabila tersingkap pula kisah lain hingga mengakibatkan bapa mereka dan teman wanitanya ditahan polis.

Berikut kronologi membabitkan kes berkenaan:

2-3 September 2025 (Selasa, Rabu)

Berdasarkan laporan awal, sebuah keluarga dikatakan berada di kawasan tersebut untuk berehat dan memancing sejak beberapa hari sebelum kejadian.

Mereka terdiri seorang bapa berusia 46 tahun, teman wanita, berusia 41 tahun (pada mulanya dikatakan isteri), serta dua beradik berusia enam dan lapan tahun yang tinggal di Shah Alam Selangor.

4 September 2025 (Khamis)

Polis menerima makluman kes pada pukul 11.42 pagi membabitkan sebuah kereta yang diparkir di tebing Sungai Linggi menggelongsor masuk ke dalam sungai.

Enjin kereta dimatikan pada waktu kejadian dengan terdapat dua beradik sedang tidur dengan seorang wanita.

Manakala bapa mereka sedang menghisap rokok di kawasan berhampiran.

Orang awam di lokasi segera bertindak, menyelamatkan wanita itu, namun kedua-dua kanak-kanak malangnya terperangkap dan lemas di dalam kereta.

Bapa mangsa dan teman wanita direman bagi membantu siasatan.Bapa mangsa dan teman wanita direman bagi membantu siasatan.

5 September 2025 (Jumaat)

Bapa dan teman wanita didapati memberikan keterangan meragukan, lalu ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh).

Lelaki tersebut memiliki 16 rekod jenayah lampau, termasuk empat kes masih dalam siasatan atau dikehendaki pihak berkuasa.

Kenderaan yang digunakan, Nissan Teana dikenal pasti sebagai kereta yang pernah dilaporkan hilang di Nusa Bestari, Johor pada tahun 2022.

Perintah reman selama tujuh hari dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Seremban, bermula Jumaat hingga Khamis depan.

Polis juga sedang mengesan ibu kandung kepada kedua-dua mangsa.

Status hubungan antara bapa dan ibu kandung sama ada masih suami isteri atau sudah berpisah masih belum dipastikan.

Artikel Lain