SEORANG anggota polis cedera selepas ditembak menggunakan senjata api miliknya sendiri dan turut ditikam ketika bergelut dengan seorang lelaki di Simpang Pulai, Ipoh, Perak pada awal pagi Ahad.
Ketua Polis Perak, Komisioner Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dalam kejadian itu, Pasukan Rondaan Cegah Jenayah dari Balai Polis Simpang Pulai cuba menahan sebuah kereta mencurigakan di Taman Desa Pakatan.
Bagaimanapun, suspek bertindak memecut laju sehingga membawa kepada aksi kejar-mengejar sebelum kenderaan itu berhenti di kawasan ladang kelapa sawit.
"Ketika cubaan menahan suspek, berlaku pergelutan dengan anggota kami. Dalam kejadian itu, konstabel berusia 26 tahun ditembak di bahagian perut selepas senjatanya dirampas.
"Mangsa juga ditikam sebelum suspek melarikan diri bersama pistol berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Hasil pemeriksaan terhadap kereta suspek turut menemui mayat seorang wanita di bahagian tempat duduk belakang.
Identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh), Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh) dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Noor Hisam berkata, usaha memburu suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Fadli Ahmad di talian 012-2500019.
"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah serius sebegini dan tindakan tegas akan diambil," katanya. -The Star