suria

Lelaki larikan diri selepas kelar leher rakan serumah akhirnya terbabit kemalangan

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki bertindak melarikan diri selepas mengelar leher rakan serumahnya, dalam kejadian di Taman Rasah Jaya, Seremban, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan pada pukul 6.24 petang.

"Individu itu membuat laporan polis mengatakan menjumpai seorang lelaki berusia 31 tahun dalam keadaan berlumuran darah dan terdapat kesan kelar di leher.

"Kejadian berlaku di sebuah rumah Taman Rasah Jaya. Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahasiswa universiti swasta dikelar, bekas teman lelaki direman 4 hari

Ujarnya, siasatan lanjut yang dijalankan polis membawa kepada penahanan seorang lelaki awal pagi Ahad di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

"Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seremban membuat tangkapan terhadap rakan serumah mangsa berusia 23 tahun yang menjadi suspek utama dalam kes ini.

"Suspek dikatakan melarikan diri selepas kejadian dan dikatakan terbabit dengan kemalangan sebelum dibawa ke hospital berkenaan untuk menerima rawatan," katanya.

Mohamad Hatta berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut, namun punca kejadian dipercayai disebabkan selisih faham.

Beliau menambah, Mahkamah Majistret Seremban turut membenarkan perintah reman terhadap suspek selama lima hari bermula Ahad sehingga 11 September depan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang melihat kejadian ini diminta tampil untuk memberikan keterangan di mana-mana balai polis yang berhampiran dan dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi berkaitan insiden," katanya. 

Artikel Lain