suria

Peguam mohon pakar psikiatri forensik nilai keadaan mental Zara Qairina - “Mengapa dia berada di koridor pukul 3 pagi?”

Sehingga kini ramai masih menanti jawapan disebalik kematian Zara.

PEGUAM mewakili tertuduh remaja, Datuk Ram Singh, memohon Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada Khamis agar melibatkan pakar psikiatri forensik bagi menilai keadaan mental Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Beliau berkata, aspek psikologi arwah perlu diberi perhatian memandangkan kejadian berlaku sekitar pukul 3 pagi di asrama sekolah, melibatkan seorang remaja berusia 13 tahun.

“Persoalan utama ialah keadaan mental Zara ketika itu dan mengapa dia berada di koridor pada waktu berkenaan.

 

"Hal ini memerlukan kepakaran psikiatri forensik, bukan hanya penilaian fizikal,” katanya kepada pemberita selepas prosiding  inkues kematian pelajar itu.

Menurutnya, keterangan saksi pakar patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, menjelaskan bidangnya hanya tertumpu kepada aspek kecederaan dan kesan jatuhan, bukannya psikologi.

“Mahkamah wajar menilai faktor menyeluruh, termasuk tekanan emosi atau isu lain yang mungkin mendorong arwah berada di lokasi itu. 

"Justeru, kami memohon mahkamah mendapatkan khidmat psikiatri forensik kerajaan untuk analisis lebih komprehensif,” katanya.

Permohonan itu turut disokong peguam keluarga Zara yang menekankan keperluan penilaian psikologi bagi melengkapkan gambaran penuh insiden.

Koroner Amir Shah Amir Hassan mengambil maklum perkara tersebut dan menangguhkan keputusan untuk tindakan lanjut.

Prosiding turut menyaksikan simulasi menggunakan tiga patung bagi menggambarkan kemungkinan cara arwah terjatuh dari bangunan asrama.

 

Artikel Lain

Tiada had pembelian RON95 sekali sehari