SEORANG pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di Shah Alam, Selangor membuat laporan palsu mendakwa dia hampir diculik ketika berjalan kaki ke sekolah pada Khamis.
Namun, siasatan polis mendapati pelajar berusia 13 tahun itu hanya mereka cerita kerana enggan ke sekolah kerana kasutnya terkena najis kucing.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pada awalnya remaja itu memaklumkan kepada bapanya bahawa dia hampir diculik sebelum hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk membuat laporan.
"Bagaimanapun, ketika soal siasat pelajar itu akhirnya mengaku laporan dibuat tidak benar sama sekali.
"Siasatan mendapati pelajar berkenaan mereka cerita itu semata-mata kerana tidak mahu ke sekolah selepas kasutnya terkena najis kucing," katanya dalam kenyataan.
Mohd Iqbal berkata, susulan pengakuan itu, polis tidak meneruskan siasatan terhadap pelajar berkenaan berikutan dia masih bersekolah, namun amaran keras diberikan kepada remaja terbabit dan bapanya.
Katanya, bapa pelajar itu juga sudah menarik balik laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
"Polis menasihatkan orang ramai tidak membuat laporan palsu kerana ia adalah satu kesalahan serius dan boleh disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
"Kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.