SEORANG lelaki meluahkan rasa kecewa apabila kereta Perodua Myvi miliknya dijual oleh teman wanitanya untuk membeli beg tangan mewah jenama Chanel.
Menurut lelaki dari Pulalu Pinang itu, kenderaan berusia lebih 10 tahun itu mempunyai nilai sentimental yang tinggi kerana diwarisi daripada ahli keluarga.
Jelasnya, walaupun kereta tersebut jarang digunakan, ia tetap dijaga dengan baik sebagai kenangan.
"Segalanya berubah selepas saya keluar bertugas beberapa hari. Sewaktu pulang, saya terkejut apabila mendapati kereta itu hilang.
"Bila ditanya, teman wanita saya dengan selamba menjawab oh, saya jual dah kereta tu. Lagipun awak kan ada Proton Saga, Myvi lama tu bukannya guna pun," kongsinya di media sosial.
Lelaki itu mengakui hairan bagaimana wanita tersebut boleh melakukan jualan sesuka hati kerana kereta itu bukan atas namanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Honda tak terbayar, minta X50 pula! Isteri sedih terbaca mesej mentua 'selfish', mana suami nak 'cekau' duit?
ARTIKEL BERKAITAN: Isteri askar merengek nak X50, ‘marah’ kerja gomen pun kena guarantor! Jurujual buntu gaji bersih klien tinggal RM1,100
"Dia bukannya menjual secara sah tetapi menyerahkan kepada orang lain secara 'sambung bayar' tanpa sebarang urusan rasmi pertukaran nama.
"Dia juga yakin dengan mendakwa cara itu lebih cepat kerana terus dapat tunai dan memudahkannya membeli beg," katanya.
Tambahnya lagi, dia akhirnya faham wanita itu bersikap demikian kerana terdesak mahu menyesuaikan diri dengan kelompok rakan baharu yang gemar berfesyen dan menggunakan jenama mewah seperti Chanel, LV dan Dior.
“Dia siap cakap, saya rela awak tak ada Myvi, tapi saya tak boleh tak ada Chanel,” katanya.
Lebih memeritkan, wang hasil jualan kereta itu tidak mencukupi, menyebabkan wanita tersebut memintanya menambah baki bagi menampung harga beg tangan idamannya.
Wanita itu kemudiannya memuat naik gambar di Instagram dengan kapsyen seolah-olah beg berjenama tersebut dibeli hasil usaha sendiri.
Kata lelaki itu, dia kini mula mempersoalkan masa depan hubungannya dengan wanita itu.
“Kalau kereta peninggalan keluarga pun boleh dijual sesuka hati, saya tak tahu apa lagi yang sanggup dia lepaskan demi kemewahan,” katanya.