suria

Muat naik hantaran FB berkaitan inkues Zara Qairina, Mona Din diberi notis tunjuk sebab

Che Muna Din atau Mona Din menerima notis tunjuk sebab berkaitan hantaran di Facebook miliknya.

JABATAN Peguam Negara (AGC) menyerahkan notis tunjuk sebab kepada aktivis Mona Din berhubung hantaran wanita itu mengenai prosiding inkues Zara Qairina yang sedang berlangsung di Sabah.

AGC dalam satu kenyataan berkata, notis tersebut diserahkan kepada Mona atau nama asalnya Che Muna Din pada Rabu mengikut Kaedah 52 Peraturan 2B, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Notis tunjuk sebab itu berkaitan dengan hantaran di Facebook mengenai inkues tersebut yang dimuat naik pada Khamis lalu di bawah akaun bernama 'Mona Din'.

Pengeluaran notis tunjuk sebab itu adalah sebahagian daripada prosedur yang diperlukan untuk prosiding pengkomitan kerana menghina mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: Zara Qairina tak sedarkan diri ketika tiba di hospital... Tiada kesan lebam, dera pada tubuh - Doktor

AGC berkata hantaran Mona antaranya telah mempersoalkan keterangan saksi pakar, Dr Jessie Hiu dari Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan ia berpotensi mempengaruhi persepsi awam serta mengganggu perjalanan prosiding inkues berkenaan.

“Jabatan ini juga ingin memaklumkan pertuduhan jenayah terhadap beberapa individu lain yang turut mengeluarkan kenyataan berhubung kes melibatkan Zara Qairina Mahathir, yang berpotensi mengganggu perjalanan inkues, akan dibawa dalam masa terdekat.

“Jabatan ini memandang serius sebarang tindakan yang boleh menjejaskan pentadbiran keadilan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan sedemikian.

“Sehubungan itu, jabatan ini mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik, mengulas atau menyebarkan sebarang hantaran yang boleh menimbulkan kekeliruan atau mengganggu prosiding mahkamah yang sedang berlangsung,” katanya. - The Star.

 

Artikel Lain