SEKURANG-KURANGNYA seorang penghuni asrama terdengar bunyi kuat sebelum mayat pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir ditemui terbaring di atas tanah pada awal pagi, 16 Julai lalu.
Menurut keterangan di Mahkamah Koroner, pelajar berkenaan yang bangun lebih awal sekitar pukul 3 pagi untuk mencuci pakaian, berkata bunyi itu datang dari arah luar bilik dobi, kira-kira 15 kaki dari lokasi penemuan mayat remaja tersebut.
Difahamkan, hanya terdapat tiga mesin basuh di blok asrama tersebut.
"Apabila pelajar itu pergi melihat, dia ternampak seseorang terbaring di atas tanah, tetapi gagal mengecam kerana tidak memakai cermin mata," kata Linah Mansoding @ Jaliha, 65 menerusi prosiding pada Jumaat.
Linah merupakan pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, yang bertugas pada malam kejadian.
ARTIKEL BERKAITAN: Zara Qairina dituduh mencuri sehari sebelum ditemukan tidak sedarkan diri, dipanggil hadiri perjumpaan haram 'MA'
Linah berkata, pelajar terbabit segera memaklumkan kepadanya tentang kejadian tersebut sekitar pukul 3 pagi, dan dia dipercayai individu pertama melihat keadaan Zara Qairina yang tidak sedarkan diri.
"Saya pergi ke lokasi dan mendapati sebahagian kepala mangsa berada di atas simen, manakala badannya di atas tanah. Terdapat darah mengalir dari belakang lehernya," katanya yang merupakan saksi keenam inkues kematian Zara Qairina.
Tambahnya lagi, pakaian mangsa sedikit basah akibat hujan, dan baju sukan yang dipakainya terselak hingga ke dada.
"Saya tarik ke bawah kerana seorang ustaz sedang menghampiri kawasan itu," ujarnya.
Linah berkata dia turut mengambil gambar keadaan mayat untuk tujuan laporan.
Foto berkenaan ditandakan sebagai bukti i7 dan digunakan sebagai rujukan utama sejak inkues bermula pada 3 September.
Linah turut memaklumkan bahawa dia tidak pasti dari mana Zara Qairina terjatuh, namun mangsa dipercayai menghuni di tingkat tiga blok asrama.
Dia juga menyatakan tidak pernah menyaksikan kejadian buli fizikal sepanjang bertugas sejak 2012, walaupun mengakui terdapat gurauan secara lisan dalam kalangan pelajar.
Inkues akan bersambung minggu hadapan dengan saksi seterusnya dijangka seorang pakar forensik dari Hospital Queen Elizabeth. -The Star