INSIDEN kemalangan di Plaza Tol Telok Panglima Garang, Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) membabitkan dua buah kenderaan rupa-rupanya membongkar penemuan dadah di dalam salah sebuah kereta yang terlibat.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, hasil siasatan mendapati, kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi Jumaat berlaku apabila kereta jenis Toyota Corolla dipandu wanita berusia 40-an sedang memperlahankan kenderaannya untuk membuat transaksi bayaran tol.
Secara tiba-tiba, sebuah kenderaan jenis Chery yang dipandu seorang lelaki dari arah belakang telah melanggar kereta wanita berkenaan.
"Kereta lelaki berkenaan kemudiannya melanggar tembok pembahagi antara tol lalu terbalik.
"Ini menyebabkan lelaki yang bekerja di sebuah syarikat swasta itu cedera di kaki kiri, muka dan tangan serta telah dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ujarnya, pemandu wanita tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Akmalrizal menambah, hasil pemeriksaan lanjut menemui bahan disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 1.07 gram (g) dan syabu seberat 1.17 g dalam kereta dipandu lelaki itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain Seksyen 12 (2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya sambal menambah, siasatan turut mendapati lelaki tersebut tidak mempunyai lesen memandu.
"Pemandu wanita dan saksi bebas yang melihat kejadian itu telah hadir memberikan keterangan kepada polis," ujarnya.
Akmalrizal turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 atau 03-31872222 serta mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Terdahulu, video [Tonton Video] memaparkan kemalangan berkenaan, dengan keadaan sebuah kenderaan terbalik di lorong tol Touch 'n Go yang dimuat naik pengguna lebuh raya menjadi tular di laman sosial sejak Jumaat.