suria

Temui ajal di lantai dapur... Lelaki hidap penyakit mental mengamuk, serang ahli keluarga sebelum terjatuh

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki yang dipercayai menghidap penyakit mental meninggal dunia selepas mengamuk di rumah keluarganya di Taman Desa Baru, Gelugor, dekat George Town, awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan daripada kakak lelaki itu pada pukul 3.58 pagi, memaklumkan adik lelakinya mengamuk dan meminta bantuan polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki mengamuk tikam perut jiran, penduduk kampung marah belasah suspek sampai mati

"Apabila polis tiba di tempat kejadian, mereka menemui seorang lelaki berusia 48 tahun dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di dapur. 

"Siasatan mendapati lelaki itu yang mempunyai sejarah penyakit mental, bertindak agresif dan cuba mengancam ahli keluarga.

"Lelaki terbabit dikatakan terjatuh semasa cuba ditenangkan oleh ahli keluarga dan tidak sedarkan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, pemeriksaan oleh petugas ambulans Hospital Pulau Pinang (HPP) kemudian mengesahkan lelaki berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Abdul Rozak berkata, bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematiannya adalah disebabkan pulmonary oedema (paru-paru berair).

"Hasil siasatan polis juga menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah dalam kematian ini," katanya lagi sambal menambah, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel Lain