KERAJAAN tidak mempunyai rancangan untuk mengehadkan pembelian petrol RON95 kepada sekali sehari, tegas Kementerian Kewangan.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, kementerian itu menjelaskan bahawa walaupun kerajaan sedang mengkaji semula langkah-langkah bagi menangani penyalahgunaan subsidi RON95, pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) bertujuan memastikan keperluan harian rakyat dapat dipenuhi.
"Had pembelian sekali sehari jelas tidak selaras dengan objektif tersebut," katanya.
Penjelasan itu dibuat bagi menjawab dakwaan laporan kononnya kerajaan merancang memperkenalkan had pembelian harian bagi petrol bersubsidi tersebut.
Terdahulu, pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa rakyat Malaysia yang mempunyai MyKad dan lesen memandu yang sah akan terus menikmati subsidi RON95 sehingga 300 liter sebulan pada harga RM1.99 seliter.
Beliau turut memaklumkan bahawa pemandu e-hailing boleh memohon kuota tambahan mengikut keperluan.