suria

Siti Jamumall dan Aiman jatuh talak 3, tak boleh rujuk… Lafaz cerai di ‘live’ TikTok jadi bukti

Mahkamah mengesahkan Siti Jamumall (kiri) dan Aiman sah bercerai dengan talak satu buat kali ketiga pada Mei lalu.

MAHKAMAH Rendah Syariah Shah Alam pada Isnin mengesahkan pempengaruh, Siti Suriani Wahiddin atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall dan suaminya, sah bercerai dengan talak satu buat kali ketiga pada Mei lalu.

Hakim Syarie, Fairus Jaafar memutuskan demikian selepas mendapati Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, selaku plaintif telah bercerai dengan Siti Suriani, 26, dengan talak satu kali pertama pada 17 Mac.

Ketika membaca keputusan, Fairus memaklumkan plaintif sekali lagi membuat dua lafaz iaitu ketika siaran langsung di aplikasi TikTok pada pukul 1.31 pagi, 15 Mei lalu.

Katanya, ia disusuli dengan lafaz ketiga kepada Siti Suriani selaku defendan, 15 hingga 18 minit kemudian, dengan menyentuh perkataan "aku orang kampung sanggup dipijak tapi sekarang, aku tak boleh diam".

Susulan itu beliau berkata, mahkamah mentafsirkan talak satu kali pertama dan kedua itu sebagai satu talak sahaja secara talak rajie sementara talak ketiga ditafsirkan sebagai lafaz baharu secara talak bain kubra.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Aiman Tak Kesah harap lafaz cerai jatuh talak dua, mahu rujuk Siti Jamumall

"Mengambil kira lafaz ketiga dibuat berselang 15 hingga 18 minit dari lafaz kedua dan ada perbualan lain, maka lafaz berkenaan didapati sah dan menjatuhkan talak satu kali ketiga.

"Mahkamah meluluskan tuntutan pengesahan cerai plaintif mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

"Defendan diarahkan menjalani tempoh edah selama sehingga bersalin dan surat nikah kedua-dua pasangan ini di Perlis dibatalkan," katanya memetik Sinar Harian.

Dalam prosiding berkenaan, peguam syarie, Mohd Nooraizan Md Idros yang mewakili plaintif berkata, Aiman akur dengan keputusan terbabit namun masih memikirkan anak sulungnya yang baru dilahirkan baru-baru ini.

"Dia berharap dapat berbaik semula dengan bekas isterinya itu dan saya masih dalam perbincangan sama ada mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah dalam masa 14 hari.

"Ya, buat masa ini, pasangan ini tidak boleh rujuk semula," katanya.

Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 1 Jun tahun lalu di Satun, Thailand dan ia merupakan perkahwinan kedua Siti Suriani.

Artikel Lain

“Belum ada tarikh” - Erra Fazira