TIGA lelaki termasuk dua beradik dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM250,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor selepas mengaku bersalah menyimpan bangkai seekor harimau belang betina di dalam but kereta.
Tertuduh, Md Shaheezam Md Salim, 49, Nazerin Tomiran, 47, dan adiknya Mohamad Nazrol, 28, didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Haydar Faridzal Abu Hasan pada Selasa.
Menurut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didapati memiliki bangkai seekor harimau belang (Panthera tigris) di dalam but sebuah kereta.
Kejadian itu berlaku di sebuah stesen minyak dalam kawasan Felda Tenggaroh, Mersing kira-kira pukul 6.10 pagi 16 September lalu.
Harimau belang Malaya merupakan spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kesepuluh Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan diwartakan di bawah subseksyen 68(2)(c) akta sama tanpa permit khas.
Mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 70(1) Akta 716 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 70(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan [Akta 574].
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM250,000 bagi setiap hidupan liar, atau mana-mana bahagiannya, serta penjara sehingga 15 tahun.
Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam itu kemudian mengaku bersalah terhadap pertuduhan dan merayu hukuman diringankan dengan alasan menghadapi masalah kesihatan.
Md Shaheezam memberitahu mahkamah dia menghidap kanser hati tahap empat dan tidak lagi bekerja kerana keadaan kesihatannya, manakala Nazerin dan Mohamad Nazrol yang bekerja sebagai jurukimpal pula mendakwa mengalami masalah buah pinggang.
Haydar Farizal kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM250,000 terhadap setiap tertuduh, dan jika gagal membayar denda itu, mereka dipenjara tujuh tahun lagi.
Beliau turut memerintahkan bangkai harimau tersebut dilupuskan manakala kereta bersama kunci dan telefon bimbit dirampas untuk diserah kepada kerajaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatim Hanum Abdul Hadi. -The Star