suria

Rupanya hayun, hentak kelangkang cara pelajar IKBN bergurau sambut hari lahir... Nafi jadi mangsa buli

Tangkap layar (screenshot) video tular memaparkan seorang pelajar IKBN Miri diangkat dan dihayun beberapa rakannya.

PENUNTUT Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, Sarawak yang videonya tular kerana disyaki menjadi mangsa kekerasan fizikal beberapa pelajar lain, tampil menafikan dia dibuli.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, pelajar terbabit hadir ke balai polis bersama ibu bapanya untuk menjelaskan bahawa kejadian itu hanyalah gurauan.

Menurutnya lagi, pelajar berkenaan berkata kejadian itu tidak melibatkan paksaan atau penderaan sebaliknya ia adalah gurauan 

rakan-rakan sempena sambutan hari lahirnya pada 19 September lalu.

"Sehubungan itu, polis memanggil pegawai institut berkenaan, ibu bapa serta kesemua pelajar berumur dalam lingkungan 18 tahun hingga 24 tahun yang terlibat dalam rakaman video tersebut untuk diambil keterangan.

"Ia bagi melengkapkan siasatan dan mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut," ujarnya dalam kenyataan pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Remaja dihayun beramai-ramai, kelangkang dihentak pada tiang besi! Asyraf Wajdi gesa polis bertindak

Ujarnya, polis akan terus memantau perkembangan kes tersebut dan tidak akan berkompromi sekiranya muncul laporan atau bukti baharu yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah buli.

Tambahnya lagi, pihak IKBN Miri juga mengesahkan kejadian berlaku dalam kawasan kampus dan pihak institut memaklumkan akan mengambil tindakan tegas terhadap kesemua pelajar terlibat.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan rakaman berkenaan atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam, sebaliknya menyalurkan maklumat relevan terus kepada polis bagi tindakan sewajarnya.

Terdahulu, tular rakaman video memaparkan lima pelajar memegang kaki dan tangan seorang rakan mereka sebelum menghayunkan tubuh mangsa sehingga bahagian kelangkangnya terhentak pada tiang besi papan tanda. 

Kelihatan beberapa pelajar lain yang berada di lokasi tersebut ketawa menyaksikan kejadian tersebut.

Artikel Lain

“Belum ada tarikh” - Erra Fazira