suria

Lapan jam bermotosikal demi segulung ijazah... Zahirul bawa baldi, beg galas dari Sepang daftar di UniMAP seorang diri

Zahirul disambut Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zaliman Sauli pada Sabtu. -Foto UniMAP

DEMI segulung ijazah, seorang anak muda sanggup menempuh perjalanan lebih lapan jam bermotosikal dari Sepang, Selangor ke Perlis dengan berbekalkan baldi dan beg galas berisi keperluan asas.

Itulah tekad Muhammad Zahirul Hakim Zali, pelajar baharu Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Teknologi Robotik dan Automasi) dari Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang mendaftar pada Sabtu.

Anak sulung daripada enam beradik itu memaklumkan, menunggang motosikal seorang diri menjadi pilihan lebih praktikal selepas mengambil kira kos perjalanan dengan bas atau Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang boleh mencecah RM100 sehala.

"Sejak zaman diploma lagi, lebuh raya sudah menjadi 'rumah kedua'. Dengan motosikal, kos perjalanan hanya sekitar RM30.

"Saya dapat jimatkan belanja dan pada masa sama belajar erti sabar, disiplin serta keberanian di jalan raya," katanya.

Lebih mengundang sebak, Zahirul mengakui dirinya dalam masa yang sama enggan menyusahkan ibu bapanya kerana memahami mereka turut menanggung perbelanjaan adik-beradiknya yang lain.

Walaupun pada awalnya hasrat tersebut diragui bapa, namun keyakinan dan sikap berhemah Zahirul ketika berada di jalan raya akhirnya membuatkan lelaki itu merestui usaha anaknya itu.

Kisah keberanian Zahirul yang dikongsikan menerusi Facebook UniMAP bukan sahaja menyentuh hati ramai, bahkan anak muda tersebut membuktikan bahawa jarak ribuan kilometer tidak mampu menghalang cita-cita.

"Jangan pernah takut untuk mencuba, namun jangan pula terlalu leka ketika selesa,"kongsi Zahirul lagi.

Artikel Lain