SEORANG murid lelaki berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di kawasan sekolahnya di Lenggeng, Negeri Sembilan, pagi Sabtu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.20 pagi, ketika mangsa berada di sekolah bagi menghadiri kejohanan sukan olahraga.
Menurut beliau, mangsa terjatuh ke dalam lubang kumbahan yang terletak di belakang salah satu blok bangunan sekolah sebelum dikeluarkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
ARTIKEL BERKAITAN: Bayi maut, lapan cedera kemalangan babit 4 kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang
"Mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan segera dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di Seremban untuk menerima rawatan lanjut.
"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Datuk Alzafny berkata, bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian.
"Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai kemalangan. Tiada unsur jenayah dikesan," jelasnya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Individu yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berdekatan di talian 06-790 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.