SEORANG bayi lelaki berusia setahun maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang dekat Kajang, Selangor pada pagi Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11 pagi.
"Kemalangan itu melibatkan sebuah pacuan empat roda, sebuah kereta, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah lori.
"Kanak-kanak berkenaan didapati tersepit di bawah pacuan empat roda tersebut. Mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan," katanya dalam kenyataan.
Menurut Ahmad Mukhlis, seorang lelaki turut tersepit di bawah kenderaan sama namun berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
"Tujuh lagi mangsa mengalami kecederaan dan turut dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan," katanya.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kemalangan.