SEPASANG suami isteri dikecam selepas menyikat rambut anak mereka menggunakan sikat yang dijual di pasar raya sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai aspek kebersihan dan kesihatan.
Berdasarkan video yang dikongsi sendiri ibu dua kanak-kanak terbabit di TikTok, suaminya sedang menyikat rambut anak mereka yang ketika itu berada di dalam troli pasar raya.
Manakala, seorang lagi anak mereka menyikat sendiri rambut menggunakan sikat yang dipercayai untuk dijual.
Rakaman 14 saat tersebut kemudian tular di Threads dengan netizen bimbang tentang kemungkinan penularan masalah kesihatan.
“Serius? Apa perangai pelanggan macam ni? Pencemaran silang boleh berlaku dan berjangkit seperti kutu, kulit kepala berkeruping serta kelemumur tanpa kita sedar.
"Tambahan pula dia langsung tak beli pun dua sikat tu," dakwa pengguna Threads yang berkongsi semula video berkenaan.
Susulan itu ibu kepada dua kanak-kanak terbabit kemudian tampil memberi penjelasan menerusi video di TikTok.
Menurutnya, dia sebenarnya membeli sikat tersebut dan bukan sekadar mencuba tanpa niat untuk membayar.
“Aku beli ke tidak sikat tu? Aku beli, takkanlah aku tak beli. Aku beli sikat jenis macam ni, satu set. Lepas tu aku beli lagi shimmer untuk anak aku,” katanya.
Wanita itu turut menegaskan bahawa sikat berkenaan tidak mempunyai bungkusan plastik, justeru dia membuka dan menggunakannya terus.
“Benda tu memang dia tak ada packaging… aku try la. Kalau rasa was-was, balik boleh basuh,” katanya.
Pada masa sama, dia turut memohon maaf kepada pihak pasar raya kerana menimbulkan kekecohan.
Bagaimana pun penjelasan tersebut masih mengundang kecaman netizen apabila mendakwa dia tidak membelinya kerana sikat yang ditunjukkan berbeza dengan sikat yang digunakan.
"Sikat (anak) akak dah pakai itu yang perlu dibeli. Bukan beli sikat yang lain. Ini bukan soal tidak beli, ni soal tanggungjawab.
"Dah guna tu, beli la yang itu. Takkan dah guna, letak balik dan orang lain beli," katanya.