suria

[V] “Dia menangis, meraung tanya anak” - Saksi awal kemalangan tragis Plaza Tol Bukit Kajang cerita momen menyayat hati

Ridhwan tidak mampu menahan tangis ketika bercerita mengenai kemalangan tragis di Plaza Tol Bukit Kajang pada Sabtu.

"Dia dukung anak yang tak bernyawa," demikian imbas Ridhwan Mohamad yang jelas tidak dapat menahan tangisan ketika berkongsi kisah kemalangan tragis Plaza Tol Bukit Kajang, dekat Kajang, yang berlaku pada pagi Sabtu.

Ridhwan adalah antara saksi terawal kemalangan maut yang mengorbankan nyawa seorang bayi lelaki berusia 1 tahun 4 bulan, selain mengakibatkan tujuh mangsa lain cedera.

Menurut Ridhwan, dia yang kebetulan melalui lokasi kejadian kerana sedang dalam perjalanan menghantar anak buahnya ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, segera memberhentikan kenderaan sebaik kemalangan berlaku, bagi memberikan bantuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi maut, lapan cedera kemalangan babit 4 kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang

Dia menghampiri dua mangsa lelaki yang terbaring akibat kecederaan terlebih dahulu dan membantu mereka menghubungi ahli keluarga bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

"Kemudian aku pergi dekat ibu kepada baby yang meninggal. Dia menangis, meraung sambil tanya, anak saya macam mana? Dia dukung anak dia yang tak bernyawa.

Kemalangan membabitkan empat kenderaan itu mengakibatkan seorang bayi lelaki terkorban. 

"Aku ambil telefon dan bercakap dengan suami dia, yang berada di Kedah. Dia berkali-kali tanya keadaan anak-anak, isteri dan ibu (mentua). 

"Aku tak sampai hati, cuba mengelak nak beritahu. Akhirnya aku minta maaf, beritahu anak mereka dah tak ada. Dia meraung.... masih terngiang-ngiang lagi suara mereka," ceritanya dalam esak tangis. 

Sehingga kini perkongsian videonya [Tonton Video] meraih lebih 1.2 juta jumlah tontonan, dengan ruangan komen dibanjiri ucapan takziah dan doa netizen yang turut sama bersedih.

Terdahulu media melaporkan nahas yang berlaku pada kira-kira pukul 11 pagi Sabtu itu melibatkan sebuah lori tiga tan yang membawa barangan lusuh, kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR), sebuah kereta jenis Honda City dan Proton X70.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, masalah brek lori dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan empat kenderaan tersebut.

Pemandu lori berusia 42 tahun direman bagi membantu siasatan.

Artikel Lain