SEORANG pemandu lori dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Seremban, Negeri Sembilan selepas mengaku bersalah merogol kekasihnya yang ketika itu masih di bawah umur di sebuah bilik hotel.
Hakim Surita Budin turut memerintahkan tertuduh, Khairul Azhar Mohd, 35, menjalani sesi kaunseling serta berada di bawah pengawasan polis selama setahun.
Bagi pertuduhan pertama, Khairul didakwa merogol mangsa selepas memaksa remaja itu minum minuman beralkohol di sebuah hotel di Bahau sekitar pukul 12.30 tengah malam pada 28 Mei.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Khairul turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi pertuduhan memiliki dua rakaman video dalam telefon bimbit yang menunjukkan dia melakukan serangan seksual terhadap mangsa yang ketika itu empat bulan lagi sebelum mencecah usia 18 tahun.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan serius dilakukan tertuduh.
"Tertuduh bukan sahaja merogol kanak-kanak tetapi turut merakam perbuatan itu dalam telefon bimbitnya. Kepentingan awam perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadinya," katanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman diringankan kerana perlu menyara ibu serta tiga anak kecilnya.
"Saya harap hukuman ini berjalan serentak dengan hukuman penjara lain yang sedang saya jalani," katanya.
Norazihah kemudian memaklumkan tertuduh sebelum ini dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan pada Ogos lalu atas kesalahan berkaitan dadah.
Hakim Surita memerintahkan hukuman bagi kes rogol dan pemilikan rakaman lucah itu berjalan serentak, menjadikan tempoh penjara keseluruhan selama enam tahun. -The Star