suria

Meremang tengok pepijat gemuk-gemuk berkeliaran atas katil hotel! Wanita dakwa siap jumpa telur

Tangkap layar daripada video menunjukkan pepijat yang berkeliaran di atas katil di sebuah hotel.

PENGALAMAN yang sepatutnya indah bertukar menjadi mimpi ngeri bagi seorang wanita apabila mendakwa menemukan pepijat di atas bantal ketika menginap di sebuah hotel.

Menerusi hantaran tular pada Isnin, wanita itu berkata dia turut menjumpai telur serangga perosak tersebut di atas katil ketika sedang berehat.

"Tengah staycation dekat sebuah hotel. Baru nak lelap, kemudian tahu tak apa saya jumpa dekat bantal? 

"Memang spoil la! Ingatkan nampak seekor je, tapi ni siap ada telur," jelasnya sambil berkongsi video menunjukkan beberapa ekor pepijat bersaiz besar di atas katil.

Tambah pengadu, walaupun pihak hotel ada menawarkan bilik lain, namun dia merasakan isu berkenaan perlu dipandang serius.

"Bed bugs kan ni? Saya buat tempahan hotel ni melalui satu laman web. Agak-agak dapat pampasan tak? 

"Mereka tukarkan kami ke bilik yang lain. Tapi pepijat ni bukan isu kecil ya," tambah wanita itu.

Perkongsian berkenaan mengundang kegelisahan dalam kalangan warga maya yang rata-ratanya terkejut melihat saiz pepijat atau kutu busuk itu.

"Ya Allah gemuknya. Terus rasa gatal-gatal badan. Menerusi video ini saya belajar betapa besarnya pepijat. Saya sangka ia macam semut kecil je. Macam anai-anai.

"Betul itu bed bugs atau pepijat. Besarnya, mesti banyak telur. Saya pernah kena dan sangat gatal kena gigit. Tak dapat bayangkan kalau ada anak kecil.

"Saya pernah kena gigit pepijat. Sumpah gatal tak boleh bawa bincang. Nak menangis rasa tahan gatal. Klinik kesihatan bagi MC seminggu," komen beberapa netizen.

Untuk makluman, pijat atau pijat-pijat yang biasa dipanggil pepijat adalah sejenis serangga parasit yang sukar disedari daripada keluarga Cimicidae. 

Golongan serangga ini hidup dengan makan darah manusia dan haiwan berdarah panas yang lain.

Artikel Lain