suria

Wisma Putra sahkan 23 sukarelawan Malaysia akan dihantar pulang melalui negara ketiga

Kapal konvoi GSF dipintas tentera Israel sewaktu misi dijalankan. -Foto Reuters

SEMUA 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) disahkan berada dalam keadaan selamat selepas ditahan tentera Israel pada Khamis, waktu tempatan.

Menurut kenyataan Wisma Putra, kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselamatan serta pembebasan segera kesemua peserta tersebut.

"Kementerian ini telah menerima maklumat bahawa semua yang ditahan berada dalam keadaan selamat dan sihat, dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga. 

"Kementerian ini akan memastikan mereka menerima sokongan serta bantuan konsular yang diperlukan bagi menjamin kepulangan mereka selamat ke Malaysia," demikian menurut kenyataan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan sudah berhubung dengan beberapa pemimpin negara sahabat termasuk Amerika Syarikat bagi mendapatkan kerjasama mereka dalam isu berkenaan.

Dalam masa sama, Menteri Luar Negeri turut mengarahkan perwakilan Malaysia di rantau terbabit, termasuk Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah, supaya mendapatkan bantuan diplomatik daripada kedutaan negara-negara Asean di Tel Aviv, Israel.

"Kerajaan Malaysia akan terus komited menjaga keselamatan rakyat Malaysia di luar negara. Kerajaan turut menegaskan bahawa penahanan peserta GSF adalah tidak sah.

"Pihak kami menuntut agar mereka (tahanan) dilayan selaras dengan undang-undang antarabangsa serta dibebaskan dengan segera," jelasnya lagi.

Untuk rekod, empat negara Asean mempunyai kedutaan di Tel Aviv iaitu Thailand, Singapura, Myanmar dan Filipina.

Artikel Lain