SEORANG pelajar universiti berusia 17 tahun ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah unit kondominium di Cyberjaya pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 3.18 petang berhubung penemuan seorang lelaki tidak sedarkan diri di aras lapan kondominium berkenaan.
"Pasukan dari Balai Polis Cyberjaya telah dikejarkan ke lokasi dan hasil pemeriksaan awal mendapati remaja berkenaan dalam keadaan tertiarap berlumuran darah.
"Kami percaya mangsa telah jatuh dari tingkat atas unit kediamannya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Norhizam, mangsa yang juga pelajar sebuah universiti tempatan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, siasatan lanjut Bahagian Siasatan Jenayah Sepang mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Susulan itu, mayat dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Cyberjaya untuk bedah siasat.
"Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi serta menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di talian 03-8777 4222 atau balai polis berhampiran jika mempunyai maklumat," ujarnya.
Mereka yang berdepan masalah kesihatan mental boleh mendapatkan bantuan melalui Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di talian 03-2935 9935 atau 014-322 3392.
Pilihan lain termasuk menghubungi Talian Kasih di 15999 atau WhatsApp 019-261 5999, serta Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM di WhatsApp 011-1959 8214.
Orang ramai juga boleh menghubungi Befrienders Kuala Lumpur di 03-7627 2929 atau e-mel sam@befrienders.org.my selain mana-mana cawangan Befrienders di seluruh negara. -The Star