PESERTA misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) mendedahkan pengalaman perit yang dialami ketika dalam tahanan rejim Zionis.
Menurut Iylia Balqis Suhaimi, layanan yang diterima semasa dalam tahanan amat menjengkelkan dan bersifat menghina, seolah-olah mereka bukan sukarelawan kemanusiaan tetapi penjenayah.
“Sangat menjengkelkan bagaimana mereka melayan kami di penjara. Mereka ada banyak protokol kononnya prosedur keselamatan tapi semuanya hanya untuk buat kami rasa tertekan,” katanya.
Iylia Balqis turut menceritakan bahawa mereka dipaksa menukar pakaian dalam keadaan yang tidak selesa dan diletakkan di ruang sempit dengan pencahayaan terang yang menyakitkan mata.
ARTIKEL BERKAITAN: Ada kemungkinan tudung Ardell Aryana turut dirampas tentera Israel… “Cuba perhati hijabnya”
ARTIKEL BERKAITAN: Derita melutut 5 jam, tak dibenarkan minum berakhir... PMX sahkan 23 aktivis Malaysia dibebaskan, bakal pulang ke Malaysia
“Kami perlu tukar pakaian, kemudian mereka masukkan kami ke dalam dapur dengan cahaya yang sangat terang.
"Mereka tidak menghormati kami sebagai wanita berhijab,” katanya.
Lebih menyedihkan, kata Iylia Balqis, ada antara peserta wanita Muslim lain yang dipaksa membuka hijab oleh pihak berkuasa Israel.
“Mereka tidak beri kami air bersih dan juga ubat walaupun kami minta. Ada seorang wanita perlukan ubat, tapi mereka tolak.
"Mereka kata kalau dia belum mati, tak mengapa. Kami juga dipaksa minum air dari tandas,” katanya.
Iylia Balqis antara 23 rakyat Malaysia yang dibebaskan dari tahanan rejim Zionis selepas ditahan dalam misi GSF ke Gaza.
Kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF telah tiba di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan pada Sabtu.