SEORANG lagi mangsa kemalangan melibatkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang di Kajang, Selangor pada 27 September lalu meninggal dunia pada Ahad.
Mangsa, Mohd Hafizi Anuar, 48, iaitu penumpang Nissan X-Trail dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 pagi di Hospital Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, jenazah kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Shah Alam itu akan diserahkan kepada keluarganya selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.
“Mangsa sepatutnya dipindahkan ke Hospital Putrajaya namun disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang dan proses bedah siasat juga dilakukan di hospital sama.
“Siasatan polis masih diteruskan dan kami masih menunggu laporan penuh daripada agensi berkaitan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bayi maut, lapan cedera kemalangan babit 4 kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang
Dalam kejadian pukul 10.50 pagi itu, Mohd Hafizi dan seorang lagi kakitangan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal JKR baru selesai tugasan di Penjara Kajang dan dalam perjalanan pulang ke pejabat di Shah Alam.
Kejadian itu turut mengorbankan seorang bayi lelaki berusia setahun empat bulan.
Kemalangan melibatkan empat kenderaan iaitu Nissan X-Trail milik staf JKR Shah Alam, Proton X70, Honda City dan sebuah lori tiga tan yang membawa besi buruk.