SEORANG pemandu lori rentung selepas kenderaan dipandu terbakar dalam kemalangan di kilometer (KM) 28 Lebuh Raya Karak dari Genting Sempah, Pahang menuju Kuala Lumpur, awal pagi Isnin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 4.20 pagi.
"Seramai enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang digerakkan ke lokasi kejadian.
"Laporan oleh komander operasi, sebuah lori membawa muatan debu simen telah terbakar akibat daripada kemalangan.
"Anggaran kebakaran (lori muatan debu simen) adalah 60 peratus," jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Izzat Kamarudin, 28 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.