SAKSI ke-19 dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir mengesahkan pelajar Tingkatan Satu itu bertemu dengan sekumpulan pelajar yang dikenali sebagai ‘Circle Nineteen’ pada malam 15 Julai lalu.
Menurut laporan Sinar Harian, saksi pelajar itu memaklumkan perkara tersebut kepada Koroner Amir Shah Amir Hassan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada Khamis.
Peguam Shahlan Jufri berkata saksi berkenaan menyertai kumpulan pelajar yang dikenali sebagai ‘Circle Nineteen’, terdiri daripada 19 pelajar perempuan yang rapat antara satu sama lain.
"Semua ahli kumpulan pelajar adalah dari kelas tingkatan yang sama tetapi mereka tinggal di blok asrama yang berlainan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kesan darah pada helaian kertas sepadan DNA Zara Qairina
Saksi itu berkata dia tidak pasti sama ada kumpulan pelajar Circle Nineteen turut menasihati pelajar lain apabila berlaku masalah disiplin atau kehilangan barang.
Dia juga tidak tahu sama ada warden atau guru lain mengetahui kewujudan kumpulan pelajar tersebut.
Saksi mengesahkan bahawa pertemuan dengan Zara pada malam 15 Julai itu melibatkan kumpulan pelajar Circle Nineteen.
Menurut Shahlan, saksi itu turut menyatakan ketika dia masih junior, pelajar senior biasanya akan menegur sekiranya berlaku pelanggaran peraturan asrama.
Shahlan bersama barisan peguamnya, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James, mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarham Zara Qairina yang merupakan pihak berkepentingan dalam prosiding inkues tersebut.
Allahyarham Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya awal pagi 16 Julai sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya. - The Star