SEORANG warga emas berusia 75 tahun ditahan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas didapati membeli nombor ekor bernilai RM8 di sebuah premis di Kota Tinggi pada Rabu.
Siasatan awal mendapati lelaki berusia 75 tahun tersebut tinggal bersendirian di sebuah rumah kampung dan tidak mempunyai penjamin dalam kalangan ahli keluarga.
Menurut JAINJ, warga emas itu tidak bekerja dan hanya bergantung kepada bantuan kerajaan sebanyak RM600 sebulan.
"Ketika siasat, lelaki itu mengakui telah terlibat dengan aktiviti perjudian lebih 40 tahun.
"Sehingga sekarang dia masih membeli nombor ekor tapi tidak lagi kerap dan hanya berjudi bila mempunyai lebihan duit," katanya.
Menurut JAINJ, lelaki itu juga sedar judi adalah haram dan sia-sia, namun sukar untuk berhenti kerana sudah terbiasa dengan aktiviti itu sejak muda.
"Mengikut Seksyen 18 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, jika sabit kesalahan, warga emas itu boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.