suria

Perjanjian dicapai, Hamas umum henti perang di Gaza

Keadaan Gaza City selepas diserang tentera Israel pada 19 September lalu. -Foto Al Jazeera

GERAKAN Perjuangan Islam (Hamas) mengumumkan bahawa satu perjanjian penting telah dicapai bagi menghentikan perang di Semenanjung Gaza, selepas rundingan intensif bersama beberapa fraksi perjuangan Palestin serta perantara antarabangsa.

Dalam kenyataannya, Hamas menjelaskan perjanjian tersebut meliputi penghentian penuh operasi ketenteraan Israel di Gaza, pengunduran pasukan pendudukan, kemasukan bantuan kemanusiaan, serta pertukaran tahanan antara kedua-dua pihak.

"Setelah melalui rundingan yang bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh antara pergerakan ini bersama fraksi-fraksi perjuangan Palestin yang lain berhubung cadangan yang dikemukakan oleh Presiden Trump di Sharm el-Sheikh, dengan tujuan mencapai penghentian perang pemusnahan terhadap rakyat Palestin.

"Serta pengunduran pasukan pendudukan dari semenanjung Gaza, Hamas mengumumkan bahawa satu perjanjian telah dicapai, meliputi penghentian perang di Gaza, pengunduran pasukan pendudukan, kemasukan bantuan kemanusiaan, serta pertukaran tahanan," katanya.

Gerakan itu juga menyeru Presiden Trump, negara-negara penjamin, serta pihak Arab dan Islam agar Israel menunaikan sepenuhnya komitmen perjanjian tanpa sebarang penangguhan atau pengelakan.

"Kami amat menghargai usaha saudara-saudara perantara di Qatar, Mesir dan Turki, serta mengiktiraf usaha Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang telah berusaha untuk menghentikan perang secara menyeluruh dan memastikan pengunduran penuh pasukan pendudukan dari semenanjung Gaza.

"Kami menyeru Trump, negara-negara penjamin perjanjian, serta semua pihak Arab, Islam dan antarabangsa agar memastikan kerajaan pendudukan menunaikan sepenuhnya komitmen perjanjian ini dan tidak membenarkan mereka mengelak atau melengahkan pelaksanaan perkara yang telah dipersetujui," katanya.

Dalam masa sama, Hamas menyampaikan penghormatan kepada rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat, Baitul Maqdis (al-Quds) dan diaspora yang terus menunjukkan ketabahan serta keberanian luar biasa dalam menghadapi penjajahan.

“Sesungguhnya pengorbanan dan keteguhan ini telah menggagalkan rancangan rejim pendudukan untuk menundukkan dan mengusir rakyat Palestin,” tegas kenyataan itu.

Hamas menegaskan bahawa perjuangan rakyat Palestin akan diteruskan hingga mencapai kebebasan, kemerdekaan dan hak penentuan nasib sendiri, sambil menzahirkan keyakinan bahawa pengorbanan selama ini tidak akan sia-sia.

Artikel Lain