AGROBANK menyeru orang ramai berhati-hati ketika memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan di media sosial yang boleh mengelirukan atau disalah tafsir masyarakat.
Merujuk kepada rakaman video sebuah bot yang didakwa melakonkan gimik solidariti Palestin dengan mengibarkan bendera Israel di Sungai Kelantan pada Jumaat, institusi perbankan itu menafikan penglibatan mereka sepenuhnya.
Malah tegasnya, Agrobank tidak terlibat secara langsung dalam penghasilan, pementasan, mahupun penyebarannya di media sosial.
"Bot yang dipaparkan dalam video tersebut pernah digunakan semasa inisiatif promosi Agrobank sebelum ini.
"Namun penyertaan dalam acara solidariti berkenaan dilakukan tanpa pengetahuan pihak bank.
"Kandungan yang tular itu tidak mencerminkan pendirian, nilai mahupun identiti sebenar Agrobank," ujarnya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Agrobank turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan segelintir pihak di media sosial yang telah menimbulkan salah faham terhadap imej korporatnya melalui perkongsian kandungan yang mengelirukan dan tidak tepat.
Tambahnya, sebagai sebuah institusi perbankan Islam, Agrobank berpegang teguh kepada prinsip Islam yang menolak penyebaran maklumat yang tidak benar.
"Sebaliknya, pihak bank menggalakkan komunikasi yang beretika dan berlandaskan nilai kejujuran.
"Sehubungan itu, Agrobank menyeru kepada mana-mana individu atau pihak yang telah memuat naik video tersebut agar menurunkannya segera.
"Agrobank akan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan nama, logo dan identiti korporat tidak disalahgunakan dalam mana-mana konteks yang boleh menjejaskan reputasi institusi," tambahnya.
Dalam pada itu, pihak perbankan ini juga meluahkan penghargaan terhadap semangat solidariti rakyat Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin.
Terdahulu, program Pelayaran Solidariti Kelantan yang bertujuan menunjukkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Gaza mendapat perhatian netizen sejak Jumaat.
Ia berikutan video sebuah bot yang didakwa melakonkan gimik solidariti Palestin dengan mengibarkan bendera Israel di Sungai Kelantan mencetuskan kebimbangan masyarakat.


