suria

Pelajar mangsa bunuh ditikam 200 kali dari leher turun ke paru-paru serta kaki

Lee Ping menahan sebak ketika sidang media di di Nirvana Center KL (NCKL) pada Khamis.

IBU kepada pelajar perempuan yang maut dalam kes pembunuhan di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya, Selangor mendakwa anaknya ditikam 200 kali oleh suspek pembunuh.

Wong Lee Ping, 44, menafikan laporan tidak tepat yang tersebar di media sosial mengenai jumlah tikaman ke atas anaknya, Yap Shing Xuen, 16.

“Sesetengah menyebut 50 tikaman, tetapi sebenarnya 200 tikaman dari leher ke paru-paru dan juga kaki,” katanya ketika sidang media di Nirvana Center KL (NCKL) pada Khamis.

Lee Ping berkata, anaknya diserang ketika berada di tandas sekolah.

“Polis beritahu kami, suspek lelaki memanjat dari atas pintu tandas kerana ia berkunci. Anak saya menjerit minta tolong dan orang ramai dengar jeritan itu.

"Selepas menikamnya, budak itu melarikan diri, meninggalkan anak saya terkunci di dalam. Apabila pintu dipecahkan, dia sudah tiada,” katanya.

Dia turut merayu orang ramai agar berhenti menyebarkan maklumat palsu dan cerita tidak sensitif mengenai kejadian itu.

“Anak saya mangsa sebenar. Tolong hentikan penyebaran kisah palsu tentang cara dia meninggal.

"Dia tidak mengenali suspek dan tidak pernah berhubung dengannya,” tegasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar lelaki tikam senior direman 7 hari, siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan

Menurut Lee Ping, mendiang Shing Xuen ialah pelajar yang bijak, berdisiplin dan penyayang dengan dua hari sebelum kejadian, dia baru memenangi tempat kedua dalam acara sukan antarabangsa di sekolahnya.

“Dia seorang anak yang berdikari, teratur dan sangat menyayangi keluarga. Dia gadis yang baik hati,” katanya sambil menangis.

Lee Ping juga menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap penipuan dalam talian yang menggunakan kod QR palsu untuk meraih derma atas nama keluarga mereka.

“Jangan derma melalui pautan itu. Jika ingin menzahirkan simpati, datanglah ke sini untuk memberi penghormatan terakhir,” katanya.

Sementara itu, bapa tiri mangsa, How Boon Chin, 60, turut meluahkan rasa kecewa terhadap spekulasi dan khabar angin di media sosial.

“Banyak cerita mengarut. Cukuplah. Kejadian ini sudah cukup menyakitkan. Malah, pelajar lain kini takut untuk ke sekolah,” katanya.

Dia turut mempersoalkan bagaimana senjata tajam boleh dibawa masuk ke sekolah, sedangkan telefon bimbit pun dilarang.

“Telefon tak boleh bawa, tapi pisau boleh pula masuk. Sekolah perlu siasat perkara ini dengan serius,” ujarnya.

Upacara penghormatan terakhir Shing Xuen diadakan di NCKL selama lima hari mulai Jumaat, bagi memberi ruang kepada keluarga, rakan dan warga sekolah menziarahi mendiang..-The Star

 

Artikel Lain

Ibu Hafiz Suip meninggal dunia