suria

Tertuduh pertama kes rogol bergilir-gilir pelajar Tingkatan 3 hidap penyakit angin pasang

Merogol adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan tindakan tegas. -Gambar hiasan

DUA daripada empat pelajar lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian rogol pelajar Tingkatan Tiga serta merakam perbuatan itu dihadapkan ke Mahkamah Kanak-kanak, Melaka pada Khamis.

Kedua-dua remaja berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu didakwa di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee atas tiga pertuduhan membabitkan kes rogol secara berkumpulan, persetubuhan bertentangan aturan tabii dan amang seksual fizikal.

Memetik laporan Sinar Harian, seorang daripada mereka mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan manakala rakannya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Berikut kesalahan mengikut pertuduhan:

Pertuduhan pertama - Rogol secara berkumpulan

Didakwa melakukan rogol terhadap seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun lapan bulan di sebuah kelas Tingkatan Tiga.

Kesalahan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua - Persetubuhan bertentangan aturan tabii

Didakwa melakukan perbuatan terhadap mangsa sama.

Kesalahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika disabitkan.

Pertuduhan ketiga - Amang seksual fizikal

Didakwa memegang payudara mangsa.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah kelas di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, sekitar pukul 2.50 petang pada 30 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Ahmad Sazali Omar, yang memohon hukuman setimpal dan mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan terhadap setiap tertuduh.

Peguam Chua Yong Yi yang mewakili tertuduh pertama memohon jaminan rendah atas faktor pembedahan Sinus selain menghidap penyakit angin pasang.

Manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagi tertuduh kedua turut memohon jaminan lebih rendah dan menyatakan kesediaan anak guam mematuhi syarat mahkamah.

Majistret Dr Shu Yee kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 keseluruhan serta menetapkan 26 November depan bagi serahan dokumen dan laporan akhlak sebelum hukuman dijatuhkan.

mStar pada Sabtu melaporkan empat pelajar lelaki yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada November ini direman enam hari selepas disyaki merogol pelajar perempuan secara bergilir-gilir di sekolah.

Difahamkan kejadian berlaku di dalam sebuah kelas dan turut dirakam menggunakan telefon bimbit oleh dua daripada suspek.

Artikel Lain

Ibu Hafiz Suip meninggal dunia