suria

Mana ‘sweeper’, MGP? Komuniti ‘hiking’ persoal kes pendaki Gunung Liang ditemukan maut, tergamak tinggalkan seorang diri

Allahyarham Mustaqqeem ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang pada Khamis petang. -Foto Facebook

KEMATIAN seorang pendaki lelaki di puncak gunung mencetuskan perdebatan dalam kalangan komuniti pendaki yang mempersoalkan peranan pihak penganjur, termasuk Malim Gunung Perhutanan (MGP) dan sweeper kumpulan.

Mangsa, Mustaqqeem Mansoor, 34, dari Sungai Petani, Kedah, dilaporkan hilang sejak dua hari lalu sebelum ditemukan meninggal dunia di bawah beirut (tempat berteduh sementara) di puncak Gunung Liang, Tanjong Malim, Perak pada Khamis petang.

Menerusi satu hantaran di Threads, seorang individu meluahkan rasa terkilan dengan mempersoalkan bagaimana mangsa boleh ditinggalkan sedangkan setiap kumpulan pendakian sepatutnya mempunyai pemandu arah dan sweeper bagi memastikan keselamatan peserta.

"Sedihnya, line up (pendaki) mungkin fikir ada sweeper jadi tak tunggulah, kan? Macam mana la ada MGP dan sweeper (tapi) boleh tergamak tinggal. 

"Yang peliknya, famili buat laporan baru mula pencarian sedangkan kita bayar MGP. Member buat (pendakian) Trans Semaliang, maksudnya arwah bukan hiker baharu.

"Sebab Trans Semaliang tu hardcore. Saya naik Liang pun barai (terlalu penat). Sudah la (arwah) barai, kena tinggal pula tu, sedihnya," luah individu berkenaan.

Hantaran dibuat mengundang pelbagai reaksi netizen yang turut mempertikai tanggungjawab serta peranan MPG dan sweeper semasa pendakian berkenaan.

"Siasat kesemuanya, termasuk sweeper.

"Sedihnya tengok meninggal dalam keadaan mengiring macam tu. Mesti dia sudah penat.

"Kejam tinggal macam tu je, tak buat laporan. Tolong viralkan grup hiking ni.

"Masa jumpa arwah dah meninggal ke? Allahu. Gamaknya hati (ahli) grup tinggal. Sebab tu nak hiking kena cari orang yang betul-betul boleh buat kawan baru ada semangat kekeluargaan tu.

"Kita hiking, memang bergantung sama-sama kita je, pilunya," komen beberapa netizen.

Pada Khamis, Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata mangsa ditemukan sekitar pukul 3.30 petang.

Difahamkan, Mustaqqeem bersama 10 rakan lain memulakan pendakian dari Bukit Fraser, Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijadualkan turun melalui Gunung Liang. 

Namun, kali terakhir dia dilihat pada Selasa (14 Oktober) sekitar pukul 10.30 malam dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan.

Helikopter bomba dijangka digunakan bagi membawa turun mangsa pada pagi Jumaat.

Untuk makluman, sweeper ialah individu yang berjalan paling belakang dalam kumpulan dan bertanggungjawab memastikan tiada peserta yang tertinggal di laluan setiap pendakian.

Sweeper juga berperanan membantu jika ada ahli kumpulan mengalami sebarang kecederaan atau keletihan di pertengahan perjalanan.

Artikel Lain