SEORANG wanita dan sembilan pelajar sekolah cedera dalam kejadian ribut di Sijangkang di Kuala Langat, Selangor pada Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar pukul 4.24 petang.
“Berlaku kejadian melibatkan runtuhan bangunan Pejabat Penyelaras Dewan Undanan Negeri (DUN) Sijangkang, di mana terdapat seorang mangsa wanita berumur 51 tahun terperangkap.
“Mangsa dalam keadaan sedar. Kerja-kerja menyelamatkan sedang dilakukan oleh anggota bomba bertugas. Pada pukul 5.05 petang mangsa berjaya dikeluarkan dan mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan peha," katanya.
Tambahnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan lanjut.
Menurut Ahmad Mukhlis, kejadian rebut juga melibatkan sebuah surau Kafa dengan terdapat anggaran tujuh hingga sembilan orang pelajar mengalami kecederaan ringan.
“Kesemua mangsa sedang dirawat oleh pihak KKM yang berada di lokasi,” katanya.
Seramai tujuh anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Andalas yang terlibat dalam operasi berkenaan.


