SERAMAI 756 pelajar Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kota Kinabalu di Sabah menyertai Kempen Internet Selamat (KIS) bagi memperkukuh kesedaran keselamatan siber dalam kalangan generasi muda.
Program anjuran Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Khamis itu turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Memetik laporan Bernama, matlamat utama kempen berkenaan adalah untuk memupuk budaya penggunaan internet secara beretika dan bertanggungjawab dalam kalangan belia.
Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC, Datuk Zulkarnain Mohd Yasin serta Pengetua kolej, Suhaibul Kassim.
Kempen itu menekankan isu semasa dunia siber seperti penipuan dalam talian, buli siber, penyalahgunaan maklumat peribadi serta penyebaran kandungan palsu.
Menerusi sesi pendekatan interaktif, pelajar turut diajar cara mengenal pasti risiko siber, mengesan taktik manipulasi penipuan dan menilai kesahihan maklumat sebelum dikongsi.
Selain itu, penekanan turut diberikan terhadap kepentingan mengamal sikap berhemah dalam penggunaan media sosial, termasuk mendedahkan maklumat peribadi secara berlebihan bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan data dan ancaman keselamatan.
Kempen Internet Selamat mencerminkan usaha berterusan MCMC untuk memperkasa masyarakat digital yang celik teknologi, beretika dan sejahtera di ruang siber dengan kempen yang kini giat diperluas secara aktif ke institusi pendidikan di seluruh Sabah.
Setakat Oktober, sebanyak 4,734 institusi pendidikan di seluruh negara telah menyertai kempen berkenaan, termasuk 434 daripadanya adalah dari negeri Sabah.


